Minggu ke-37 kehamilan: Perkembangan dan diet
Si manja anda cenderung untuk menghalakan kepalanya ke bawah, lengannya bersilang, dan kaki terlipat di dada kerana tidak banyak ruang untuknya bergerak. Dia sememangnya tak sabar-sabar untuk keluar! Baca lebih lanjut mengenainya minggu ini.
PERKEMBANGAN MINGGU KE-37
Hello, apa khabar? Macam mana persediaan anda menjelang hari yang penuh bermakna?
Dengan beberapa minggu lagi, anda tentunya berasa teruja dan bimbang. Semua bakal ibu mengalami perasaan yang sama! Tapi, cuba rileks supaya anda boleh melahirkan dalam keadaan yang tenang. Terus lakukan senaman santai dan latihan pernafasan biasa anda. Jika anda rasa ada berlaku kontraksi, lihat jam tangan anda dengan tenang, berbaring dan berehat, tarik nafas dalam-dalam dan kerap. Kontraksi akan reda. Apabila ia kembali, lihat jam tangan anda semula. Jika ia dijarakkan lebih daripada 20 minit antaranya, belum masanya untuk anda melahirkan (secara umum, jika kontraksi dijarakkan 5 hingga 10 minit antaranya, dan jika air ketuban anda pecah, maka sudah tiba masanya untuk anda ke hospital). Bayangkan betapa dekatnya anda untuk menjadi seorang ibu? Atau, jika ini bukan yang pertama, perasaannya tetap sama kan?
Si kecil dalam kandungan anda kini lebih besar. Dengan kekurangan ruang, anda akan mendapati pergerakannya tidak begitu kuat seperti dahulu. Namun, dia terus menendang, siku atau menggerakkan kepalanya. Bulu lanugo yang sebelum ini meliputi tubuh si manja kini sudah hampir hilang, manakala lilin verniks menjadi sedikit tebal. Sabar, dia bersiap sedia untuk bertemu dengan anda tidak lama lagi!
PEMAKANAN
Anda mungkin pernah mendengar bahawa semasa kehamilan, wanita memerlukan lebih banyak protein daripada sebelum mereka hamil. Jika anda memulakan kehamilan anda pada berat badan yang sihat, protein anda perlu meningkat dari kira-kira 50g kepada kira-kira 70g sehari. Protein tambahan 20g tidaklah sebanyak mana. Dengan mengambil makanan yang kaya protein dari makanan biasa, anda mungkin telah menepati keperluannya. Tambahan 60g daging, ikan, atau ayam menyediakan kira-kira 15g protein. Sebiji telur membekalkan kira-kira 7g protein, dan 30g keju atau 240ml gelas susu masing-masing mengandungi 7-8g protien. Semua sumber protein ini mengandungi asid amino penting yang anda dan anak anda yang semakin membesar. Sama seperti mana-mana nutrien yang mempunyai kalori, jika anda mengambil protein lebih daripada yang diperlukan, ia boleh menyebabkan penambahan berat badan.
TIP
Pernahkah anda rasa agak ragu-ragu untuk pasangan anda berada di bilik bersalin bersama anda? Jika anda tidak pasti, maka mungkin anda boleh memikirkan beberapa perkara sebelum memutuskannya. Adakah anda berasa lebih selamat apabila pasangan anda berada di sisi anda? Atau adakah anda lebih yakin bila berada bersamanya? Mungkin inginkan kawan yang baik di sisi anda, seseorang yang sudah berpenglaman menjadi ibu. Berbincanglah secara terbuka kepada pasangan anda tentang detik yang perlu anda lalui. Kemudian buat keputusan bersama. Cuba elakkan tekanan pada diri anda atau pasangan anda. Ini akan membuatkan anda lebih gembira dan bersedia untuk melahirkan cahayamata anda!
Artikel berkaitan